..

Latihan Tatabahasa: Memberi Maksud Peribahasa dan Membina Ayat

Latihan Tatabahasa: Memberi Maksud Peribahasa dan Membina Ayat

Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

1. -di mana ada punca rezeki/ keramaian, di situlah orang ramai berkumpul.
-Di tempat menjual loteri itu terlalu ramai orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis.
2. -pembangunan yang tumbuh dengan pesat.
-Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan petempatan di Bangi semakin maju bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
3. -usaha gigih yang berterusan.
-Jika kita gigih berusaha, lama-kelamaan kita akan menempa kejayaan kerana sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.
4. -mempunyai wajah yang serupa.
-Saya menegur orang itu kerana saya menyangkanya Manprit Singh sedangkan dia hanya pelanduk dua serupa.
5. -mendidik anak biarlah sejak mereka masih kecil.
-Ibu bapa perlu mendidik anak mereka sejak dari kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
6. -barisan yang bengkang-bengkok.
-Guru disiplin itu menjerit kerana terlalu marah apabila melihat barisan pelajar tersebut tidak lurus seperti ular kena palu.
8. -mendapat keuntungan dengan banyak.
-Pada minggu lepas, Nazri mendapat durian runtuh apabila peniaga itu menghadiahkan beliau sebuah kereta baru.
9. -dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.
-Walaupun Ah Keong dan Rajoo sangat rapat, tetapi masing-masing mempunyai impian yang berbeza umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.
10. -mendengar sesuatu keuntungan yang belum pasti, apa yang telah ada dibuang/ ditinggalkan.

-Apabila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan kerana apabila mendengar berita yang belum jelas bahawa dia akan mendapat pekerjaan baru itu, Ah Cun berhenti daripada kerja lamanya.

Latihan Tatabahasa: Mengemukakan Peribahasa yang Sesuai Berdasarkan Situasi yang Diberi

Latihan Tatabahasa: Mengemukakan Peribahasa yang Sesuai Berdasarkan Situasi yang Diberi

Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.

1. Perbuatan Poon Ooi Yee memang tidak dapat dimaafkan. Ayahnya, Encik Poon Tan Chook benar-benar kecewa akan tindakan anak kesayangannya. Encik Poon sentiasa memenuhi kehendak Poon Ooi Yee dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Tindakan Poon Ooi Yee menjual kereta Mercedes milik Encik Poon tanpa pengetahuannya sangat melampau. Hancur luluh hati isteri Encik Poon yang turut menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak menyangka kebaikan yang telah diberi kepada Poon Ooi Yee selama itu dibalas dengan perbuatan yang tidak baik tersebut. Encik Poon berjanji akan menghukum anaknya yang tidak tahu mengenang budi dan jasa keluarganya itu. Perbuatan Poon Ooi Yee itu sungguh tidak bertanggungjawab.
Jawapan:
-anak emas
-bagai menatang minyak yang penuh
-susu diberi, dibalas tuba

2. Penduduk Taman Taynton View tidak mempercayai kata-kata pegawai itu kerana bagi mereka, kata-katanya mempunyai maksud tertentu. Mereka sudah serik dengan janji manis yang ditaburkan oleh pegawai itu dahulu. Sebenarnya pegawai itu pandai berkata-kata dengan menabur janji palsu bahawa penduduk taman itu akan menjadi jutawan sekiranya menjual tanah mereka untuk projek yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, penduduk di taman itu kecewa kerana pegawai itu tidak dapat menyelesaikan tugas yang diamanahkan dan melakukan kerja itu separuh jalan. Sebelum itu penduduk berharap agar tugas yang dilakukan oleh pegawai itu dapat disempurnakannya.
Jawapan:
-ada udang di sebalik batu
-tanam tebu di tepi bibir
-(cikgu lupa!!!!!!!! bagi kemudian)

3. Sikap Koh Shu Yin yang selalu ponteng kerja tidak disenangi oleh majikannya. Rakan-rakannya telah menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan buruk itu tetapi nasihat mereka sia-sia belaka. Malahan Koh Shu Yin mula berani tidur ketika majikannya tiada di pejabat. Pada satu hari, perbuatan buruk Koh Shu Yin tidak dapat disembunyikan lagi. Dia telah dimarahi oleh majikannya. Pada bila-bila masa sahaja dia boleh dibuang kerja. Nasibnya kini bergantung kepada budi bicara majikannya.
Jawapan:
-curi tulang
-bagai mencurah air ke daun keladi

-bagai telur di hujung tanduk.