Latihan
Tatabahasa: Memberi Maksud Peribahasa dan Membina Ayat
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak
1. -membuat pekerjaan yang sukar dan
berbahaya.
-Perbuatan awak menyertai kongsi gelap itu bagaikan
mendukung biawak hidup.
2. -menerima nasib malang/ kesusahan yang
bertimpa-timpa/ berterusan.
-Hidupnya bagaikan sudah jatuh ditimpa
tangga kerana selepas kematian anaknya, dia kematian isterinya pula.
3. -mengutamakan orang lain daripada
keluarga sendiri.
-Sikap Abu membiayai pengajian gadis itu
bagaikan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana
keluarganya sendiri hidup dalam kedaifan.
4. -dalam keadaan serba salah.
-Sam Chong tidak tahu membuat pilihan untuk
mengikut ibunya atau bapanya setelah mereka bercerai kerana ditelan mati
emak, diluah mati bapa.
5. -berbuat baik kerana sesuatu sebab
yang tersembunyi.
-Saya tahu, Sabrina berbuat baik untuk
memikat Manprit kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang
rendah.
6. -orang yang tamak akan rugi.
-Jangan terlalu tamak bagaikan anjing
dengan bayang-bayang, nanti kamu sendiri yang rugi.
7. -telah tahu keadaan sebenar walaupun
hanya melihat luarannya sahaja.
-Saya tahu tujuan kamu datang ke rumah saya
kerana sekilas ikan di air, sudahku tahu jantan betina.
8. -membuat kerja bersungguh-sungguh
sehingga mendatangkan hasil.
-Belajarlah dengan tekun hingga berjaya
umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.
9. -membuat kerja dengan sia-sia.
-Nasihat guru kepadanya bagai mencurah
air ke daun keladi kerana dia tidak pernah mahu mendengarnya.
10. -kesalahan orang lain yang sedikit
kita nampak tetapi kesalahan kita sendiri yang besar kita tidak nampak.
-Janganlah asyik menyalahkan orang lain dan
bersikap kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.