Jenayah
Ragut
Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu
jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini
membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa
ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini
bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat
saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu
cepat?
Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi
ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang
aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka
membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI
sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil
langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan
di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita
sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi
perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini
pula.
Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan
keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu
teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang
pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik.
Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam
masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila
memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana
banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk
menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan
pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera
litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus
menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah
pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera
litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan
sunyi dan ketika waktu malam.
Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan
keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin
dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek
agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan
jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan
jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama
mereka.
Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk
menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan
pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu
pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak
merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata
masyarakat dunia. Mungkin peribahasa “sudah terantuk baru tengadah” memberikan
kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.
.