Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang

Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang

Cogan kata dicipta dengan pelbagai tujuan dalam kehidupan manusia kini. Pada satu peringkat cogan kata berperanan untuk menggambarkan tujuan sesuatu tindakan itu. Ada juga cogan kata yang dihasilkan dengan niat untuk menarik perhatian orang ramai terhadap sesuatu perkara pula. Jadi, “Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang” merupakan satu cogan kata yang mempunyai pelbagai tafsiran kepada pelajar, masyarakat dan sekolah itu sendiri.


Cogan kata ini bermaksud jika sekolah itu cemerlang dalam semua aspek maka sekolah itu akan mampu untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan terkenal. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah merupakan tempat paling lama pelajar menghabiskan masa mereka yakni hampir 8-10 jam sehari dalam tempoh lima hari seminggu. Jumlah masa yang panjang di sekolah membuktikan bahawa semua perkara yang berlaku dalam hidup pelajar itu banyak bergantung atau berkait dengan pihak sekolah itu sendiri. Jelaslah, sekolah yang baik berupaya melahirkan pelajar yang lengkap daripada semua aspek kehidupan terutama peribadi dan kejayaan akademiknya.


Pemilikan cogan kata sebegini memberikan satu maksud yang jelas kepada mana-mana sekolah jua. Semangat warga sekolah pasti mampu ditingkatkan kerana semua sedar kepentingan sekolah dan penghuninya saling berkait. Guru-guru akan memastikan diri mereka berdedikasi untuk menjalankan tugas manakala pelajarnya pula mengingatkan diri sendiri agar lebih berdisiplin untuk memudahkan urusan pengajaran guru mereka kelak. Sesungguhnya, kewujudan cogan kata memberikan satu semangat yang tinggi kepada semua pihak untuk berusaha mencapainya.


Malah, cogan kata ini seolah-olah cuba membutkikan bahawa suasana sekolah yang baik perlu diwujudkan dahulu sebelum pelajarnya mendapat kejayaan pula. Sekolah yang cemerlang mampu melahirkan lebih banyak pelajar yang baik peribadi dan kejayaan akademiknya. Masyarakat akan mengenali seseorang pelajar itu belajar di sekolah yang tertentu berdasarkan karektor dan pencapaiannya dalam kehidupannya. Sebenarnya, suasana sekolah yang baik berupaya menentukan kejayaan pelajarnya pula.


Usaha untuk memiliki sekolah yang cemerlang dan pelajar yang terbilang bukanlah satu usaha yang mudah. Semua warga sekolah harus menyedari kenyataan ini lalu sanggup berganding bahu untuk menjalankan tugas masing-masing dengan baiknya. Semangat kerjasama sebeginilah yang bakal menyaksikan semua masalah yang dihadapi baik oleh sekolah atau pelajar ditangani dengan berkesan pula. Maka, cogan kata sebegini memberikan satu kefahaman kepada semua tentang usaha gigih yang menanti mereka jika mahu memperoleh kejayaan.


Selain itu, cogan kata ini turut membabitkan istilah pelajar terbilang yang seolah-olah memberitahu bahawa setiap pelajar tidak wajar melupakan sekolah lama mereka. Pelajar harus tahu menghargai sekolah mereka dalam pelbagai cara atau bentuk tertentu. Penghargaan dalam bentuk pemberian sumbangan kewangan untuk pihak sekolah menjalankan aktiviti pelajar menjadi satu contoh mudah buat pelajar. Jelaslah, pelajar yang memahami cogan kata ini akan terus menerus membantu sekolah mereka.


Kesimpulannya, cogan kata merupakan satu istilah yang sesuai digunakan di semua sekolah di negara ini. Pada masa yang sama cogan kata juga berupaya untuk menaikkan semangat guru dan pelajar untuk bergerak bersama-sama ke arah satu matlamat yang diidamkan. Ketiadaan cogan kata seolah-olah memberikan satu bayangan bahawa sekolah itu tidak mempunyai satu tradisi yang harus dipertahankan oleh pelajar dan gurunya. Bak kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” membuktikan sekolah juga ada peranan tertentu dalam mendidik pelajar.



.

Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara Kita

Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara Kita

Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

.

Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak Memanfaatkan Internet

Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak Memanfaatkan Internet

Marcapada ini, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi, dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana, hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, anda mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet.

        Antara peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan, anak-anak perlu diberitahu mengenai baik-buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberi pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa kini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

        Selain daripada itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

        Namun begitu, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Terbaru, ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa kini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

        Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

        Secara tuntasnya, perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan dan mendidik generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau ibu bapa mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan. 


.

Kebaikan dan Keburukan Rumah Terbuka

Kebaikan dan Keburukan Rumah Terbuka


Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

.

Usaha-Usaha Untuk Melahirkan Masyarakat Penyayang

Usaha-Usaha Untuk Melahirkan Masyarakat Penyayang

         Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Justeru, masalah sosial yang kian meruncing kini dapat dicegah jika kita berusaha membentuk sebuah masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang merupakan masyarakat yang salingmemerlukan antara satu sama lain tidak kira umur, bangsa dan agama. Oleh itu, terdapat beberapa usaha yang telah dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat penyayang di negara kita.

         Antaranya, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita haruslah menunjukkan perasaan simpati dan belas kasihan terhadap golongan yang hidup dalam serba kekurangan seperti golongan kurang upaya. Hal ini demikian kerana mereka tidak akan berasa tersisih oleh masyarakat bahkan mereka akan berasa lebih dihargai. Misalnya, kita membantu golongan kurang upaya ini dengan memberikan sumbangan dari segi kewangan, tempat tinggal, atau pendidikan. Bak kata peribahasa Melayu, “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing “. Dengan berbuat demikian, kita akan dihormati dan kehidupan kita akan lebih diberkati kerana tidak bersikap kedekut dalam menyumbangkan harta yang dimiliki.

         Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa keluarga bahagia juga dapat membentuk masyarakat penyayang. Ini disebabkan sikapahli keluarga yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini sama dengan peribahasa, “ melentur buluh biarlah dari rebungya “. Contohnya, ibu bapa haruslah bersikap terbuka dan bersedia mendengar segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Jelaslah bahawa sikap ibu bapa yang sebegini mampu mencegah anak-anak mereka terlibat dalam gejala yang tidak sihat.

         Seterusnya, pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang. Ini menggambarkan bahawa pihak kerajaan perlu peka akan situasi ini dan mengambil tindakan bagi melahirkan masyarakat penyayang. Misalnya, menganjurkan ‘Kempen Masyarakat Penyayang’ di tempat-tempat yang sesuai agar ramai yang menyertai kempen tersebut. Dengan itu, usaha kerajaan pasti tidak sia-sia malahan dapat melahirkan kelompok masyarakat penyayang dalam kuantiti yang sangat membanggakan.

        Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama membimbing golongan masyarakat yang sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga untuk memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara. Seyogia diharapkan golongan masyarakat akan memandang serius akan segala perubahan yang berlaku dalam usaha melahirkan masyarakat penyayang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa,“ kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya “. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu melahirkan masyarakat penyayang agar Wawasan 1 Malaysia dapat direalisasikan seperti yang dijanjikan.


.

Cara-Cara Membantu Orang Kelainan Upaya (OKU)

Cara-Cara Membantu Orang Kelainan Upaya (OKU)

Orang Kelainan  Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat.  Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan  untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).
               
Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU.  Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang mereka alami ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.
              
Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas amat wajar diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
               
Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik.  Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak menganggap OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai.  Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.
                
Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi  OKU. Setiap maklumat  mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa  kepada orang ramai. Kempen  Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.
          
Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.  Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.
       
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa  pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU.  Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.


.

Cara Menghargai Jasa Guru

Cara Menghargai Jasa Guru

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan.  Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.  Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama.

             
Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru.  Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan.  Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu  guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga  tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.


Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu  cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya.  Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas  dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.  Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi  peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.


Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa  mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada  hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan  atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari guru.

                 
Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar.     Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya,  kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau.  Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.

                   
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.

              
Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan  pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan.


.

Cara-Cara Mewujudkan Perpaduan Dalam Kalangan Pelajar

Cara-Cara Mewujudkan Perpaduan Dalam Kalangan Pelajar

Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. aktivis sosial ‘integrasi di peringkat sekolah rendah adalah penting untuk perpaduan’. Untuk itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.

Perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kurikulum merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dengan secara teliti dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, dalam dan luar sekolah, untuk semua peringkat persekolahan.

Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan  kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah,mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

Sukan juga menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah. Sukan dijalankan bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat. Matlamat utama hari sukan ialah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan diantara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua pelajar akan terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatupadu tanpa mengira apa-apa jua tetapi sebagai satu kumpulan yang majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan di antara palajar-pelajar.

Program anak angkat merupakan satu rancangan pertukaran pelajar untuk sesuatu aktiviti demi kebaikan pelajar. Selalunya ia berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan. Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah, Sarawak atau Brunei agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara pelajar dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional.

Perkhemahan merupakan satu aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula berbunga apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatupadu. Dengan ini wujudlah perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza. 

Kesimpulannya, peranan seorang guru dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan para pelajar amatlah besar. Namun, kerjasama daripada pihak yang lain juga perlu dalam merialisasikan perpaduan ini. 


.

Memupuk Semangat Kerjasama

Memupuk Semangat Kerjasama

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

            
Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat  tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat  bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

          
Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama  penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.


Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati  dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat,  seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat.

            
Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat diimplimentasikan.   Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

                       
Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

.


Jenayah Ragut

Jenayah Ragut

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa “sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.


.

Kebaikan Sektor Perindustrian

Kebaikan Sektor Perindustrian

Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.


.

Karangan : Masalah Pemanasan Global

Karangan : Masalah Pemanasan Global

Pemanasan global merupakan ‘’demam panas’’ yang dialami oleh Bumi di mana keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi secara mendadak. Peningkatan suhu ini bukan sahaja telah menjejaskan kesihatan rakyat tetapi juga sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi negara.

Isu pemanasan global berlaku apabila aktiviti penebangan hutan, pembakaran terbuka, aktiviti perindustrian, pelepasan asap kenderaan dan aktiviti penerokaan hutan yang giat dilakukan. Untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan harus mengetatkan lagi undang-undang supaya aktiviti penerokaan hutan dan sebagainya dapat dikawal.

Selain itu, kerajaan juga harus mengalakkan rakyat mereka  untuk  melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengatasi isu pemanasan rumah hijau. Kerajaan atau penubuhan NGO harus giat mengadakan kempen – kempen kesedaran seperti kempen ‘’Sayangilah Alam Sekitar’’ dan sebagainya merupakan salah satu alternatif yang bagus untuk memupuk semangat mencintai alam sekitar dalam setiap individu.

Melentur buluh biarlah daripada rebungya. Sikap mencintai alam sekitar harus dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa harus mendidik anak untuk menjimatkan penggunaan eletrik dan air sebagai salah satu cara untuk mengatasi isu pemanasan global. Selain daripada mendidik anak anak mereka, ibu bapa juga harus menunjukkan teladan yang elok supaya anak-anak akan mencontohi kelakuan mereka dan bukannya seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Media massa huga harus turut memainkan peranan mereka untuk menyebarkan informasi dan maklumat tentang pemanasan global kepada masyarakat. Sesetengah masyarakat terutamanya generasi tua ataupun warga emas tidak sedar bahawa kelakuan mereka seperti pembakaran sampah secara terbuka akan mendorong kepada peningkatan suhu.

Di samping peranan pihak media massa dan kerajaan, masyarakat juga turut berganding bahu untuk mengatasi masalah pemanasan global. Selain daripada memandu kenderaan sendiri, kita juga harus menggunakan kenderaan awam yang telah disediakan. Ini dapat mengurangkan kadar pelepasan gas karbon monoksida di samping mengurangkan kesesakan jalan raya.

Tanggungjawab untuk memulihara kembali kesihatan Bumi merupakan peranan setiap penduduk dunia dan tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan ataupun  pertubuhan – pertubuhan NGO sahaja bak kata pepatah bersama kita teguh, bercerai kita roboh.  Hargai dan sayangilah bumi kita supaya generasi yang akan dating dapat menikmati keindahan Bumi ini.


.