Memupuk Semangat Kerjasama
Nusa tercinta kita Malaysia merupakan
negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati
sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan
anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar
bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama
lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan
yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa
ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen
dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali
hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama
begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat
dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui
penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak
dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka.
Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan
seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan
komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua
jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra,
saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa
atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat bekerjasama dalam
kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat
dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak
kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan
masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka.
Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan
masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain.
Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan
sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat
bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama
penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat
memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di
samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat
melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak
jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan
dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama
dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke
lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat
dinikmati dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa
penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan
atau menceriakan kawasan setempat, seperti dewan orang ramai, balai raya,
taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama
penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan
penduduk setempat.
Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan
vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati
diri dan semangat cinta akan negara . Dengan itu, peranan sekolah amat
penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui
pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang
kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam
kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah,
mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang
sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat
diimplimentasikan. Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan
rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat
sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian
masyarakat terbentuk.
Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan
dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada
pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya,
semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni
dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya
bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan
datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal
insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah
kegemilangan di puncak jagat.
.