Cara Menghargai Jasa Guru
Sasterawan
Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana
Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru
biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang
mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa,
tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan
insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan
ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Tanpa usaha dan
pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.
Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan
dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama.
Memetik
kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein
yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan
mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru.
Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi
bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata
dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai
jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan
selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih
dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang
menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan
perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan
perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang
bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan
di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan
memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya,
berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai
guru yang mengajar serta mendidik kita.
Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara yang tidak boleh
dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya. Antara ciri
pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa
menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng
sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan
rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk
bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak
sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk
mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa
bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan
kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang
ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah
pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada
guru.
Di
samping itu, pelajar perlu prihatin dan
menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai
jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa
mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita
boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap
tanggal 16 Mei. Pada hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah
kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan atas segala
usaha dan titik peluh yang
dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit
semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas.
Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya
pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari
guru.
Amalan ziarah-menziarahi guru
perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita
menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi
pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya, kemungkinan guru
ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau. Sebagai
pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut
sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi
mereka sakit, kita perlulah membawa buah
tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan
yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu
mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat
bertepatan dengan peribahasa, berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung
bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh
para pelajar.
Selain
itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru
yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru
sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan
kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar
sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana
jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak
watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah
mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam
barzakh. Sesungguhnya, harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa
serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.
Sudah terang lagi bersuluh,
jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan
segunung intan. Tanpa guru
siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan.
Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita
peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan.
.