..

NOVEL DI SEBALIK DINARA : Sinopsis (Bab 1 →Bab 5)

NOVEL DI SEBALIK DINARA : Sinopsis (Bab 1 →Bab 5)
BAB 1
Farisha seorang gadis yang bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem baru sahaja selesai bermesyuarat di Nusa Jaya. Semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapal terbang ke KLIA.  Farisha agak teruja melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang  merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya. Sesampainya di pintu apartmentnya, Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah terpasang “retinal scanner”. Farisha terpaksa menunggu Shida  kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android untuk masuk ke apartment mereka. Farisha ingin tidur awal kerana besok dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Dalam masa yang sama rupa-rupanya Aqram sudah dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr. Maxi untuk mengkaji  DNA Farisha.
BAB 2
Pada keesokan harinya Farisha dan Rosman pembantunya menghadiri sebuah simposium yang  akan dirasmikan  oleh Phillips Young,  Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa. Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot. Sehinggakan Farisha berasa kecewa kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram sahaja. Tanpa diduga Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini Aqram  menyatakan keinginannya mencari  jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Dalam pada itu Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perak. Tetapi pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat  menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram. Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.
BAB 3
Berikutan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari jururunding untuk satu projek, Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram. Aqram bersetuju membincangkan perkara itu di Puchong, berjumpa dengan Karl. Karl seorang yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu. Tetapi sebelum berjumpa dengan Karl, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr.Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu. Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan. Sebelum pulang Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit barah. Projek Dinara yang diteraju oleh Karl terhenti kerana dia sakit.
BAB 4
Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida  yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di Soft Lab juga. Bangunan Soft Lab dilengkapi oleh sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata. Aqram juga menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap. Farisha amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data. Itulah Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data. Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama-sama. Namun dalam masa yang sama Dr.Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan perbincangan. Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat perlukan Shida juga sebagai  physical backup kepada Farisha. Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha. Pada malam itu juga Dr.Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan  Alia sebuah cyborg canggih supaya ia tidak akan mengganggu rancangan yang diatur  untuk Farisha  dan Shida.
BAB 5
Keesokan harinya Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab.Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soft Lab. Pada sebelah petang  Aqram pula memberi taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan  bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam  Dinara, tetapi  Dinara sekarang  sudah diceroboh dan penceroboh telah berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sebenarnya inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5  dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara. Pada petang itu juga Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan  projek di Senawang yang telah menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal. Farisha bersetuju. Farisha pulang  dengan kepala yang berat memikirkan tentang Dinara yang sudah diceroboh itu. Ini bererti tugasnya amat berat. Di Soft Lab, Alia pula bertengkar dengan Dr. Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannya telah dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain ada sebarang hubungan dengan Karl. Pada masa yang sama Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia telah mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan lagi skop kerjanya. Pada malam itu Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga dia terlambat bangun.

.