NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN – Sinopsis Bab 13 → Bab 18
Bab 13.
Menurut cerita nenek, kelima-lima orang yang datang itu adalah berasal dari Kuala Lumpur. Mereka datang hanya ingin memberitahu bahawa sakitnya lebih awal sembuh daripada menggunakan herba yang datuk berikan. Lili ke anjung bertemu dengan datuk. Datuk memberitahu Lili mulai sekarang datuk hanya akan menumpukan tugas-tugasnya berkebun dan berperahu, tidak boleh bergantung hidup dengan herba-herba lagi. Pada sebelah malamnya, datuk menyusun kayu-kayu api di bangsal belakang rumah untuk menenangkan fikirannya. Keesokan harinya datuk menyusun barang-barang lama yang bertaburan di lantai dan bekerja tanpa henti-henti. Pada sebelah petangnya Lili memohon kebenaran nenek untuk ke rumah Geetha, dengan ditemani Abang Rashid, tetapi memandangkan sudah senja, Lili membatalkan niatnya, tetapi terus bersama-sama Abang Rashid ke pekan. Semasa berjalan-jalan Lili sempat bertanyakan Abang Rashid tentang zaman bujangnya dan bilakah Abang Rashid akan berkahwin? Soalan itu tidak berjawab.
Bab 14.
Lili berjumpa dengan Geetha di rumahnya, dan Geetha menyatakan rasa bosannya kerana tiada kawan. Lili mempelawa Geetha untuk bermalam di rumah neneknya, Geetha setuju. Setelah mendapat kebenaran daripada ibu Geetha, mereka bertolak menuju ke perhentian bas. Lili berharap mereka akan sampai ke rumah neneknya sebelum waktu zohor, tetapi mereka merancang untuk pergi bersiar-siar di perkampungan pada sebelah petang. Mereka tertarik dengan keindahan kampung tersebut dengan mendaki bukit, tempat melihat matahari terbit dan terbenam, suatu keunikan. Geetha bercerita tentang budaya masyarakat India yang tinggal berjiran dengannya, terdapat pelbagai karenah dan ragam hidup.
Bab 15.
Geetha dan Lili menolong nenek masak di dapur sambil bersembang kosong. Geetha memberitahu nenek bahawa tekanan darah dan kandungan gula dalam badan ibunya stabil kerana memakan herba dan rebusan akar-akar kayu. Nenek gembira dengan khabar tersebut. Datuk masih lagi belum pulang ke rumah menyebabkan nenek berasa risau. Abang Rashid telah pergi mencari datuk dengan menolak basikalnya dalam kegelapan malam. Keesokan paginya datuk pulang ke rumah dengan dileteri nenek, dan di tepi dinding terdapat dua buah bakul berisi akar-akar kayu dan daun-daun hutan.
Bab 16.
Datuk bercerita dengan nenek pengalamannya mencari bahan-bahan untuk dijadikan herba di hutan tanpa kepenatan dan keletihan. Tiba-tiba sahaja Danel muncul dengan membawa buah-buahan dan makanan lalu diberikan kepada nenek. Datuk menyambut kedatangan Danel seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Manakala, Geetha dan Lili menyiapkan minuman kepada tetamu yang datang. Mereka bercerita tentang Danel yang kali pertama bertemu di dalam bas yang sama dinaiki oleh Lili dan Geetha sewaktu pulang ke kampung. Geetha memohon untuk balik kerana telah berjanji kepada ibunya bahawa dia hanya dibenarkan bermalam semalam sahaja di rumah nenek Lili. Sebelum Geetha dihantar pulang, nenek berpesan kepada Lili supaya pergi ke kedai Ah Kwan untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Dalam perjalanan pulang, Lili terserempak dengan adegan kejar-mengejar beberapa orang pemuda yang bersenjatakan parang. Lili mungkin kenal pemuda-pemuda tersebut dan mereka pernah datang ke rumah nenek dulu. Sebaik sahaja tiba di rumah, Lili terkejut apabila melihat Danel dalam keadaan meniarap sedang diurut oleh Datuk. Sebenarnya menurut kata nenek, semenjak kebelakangan ini hubungan datuk dengan Danel begitu baik. Danel kini lebih gemar menulis artikel berkaitan buah-buahan terutamanya pisang.
Bab 17.
Dalam artikel Danel yang berjudul Segala Tentang Pisang telah menghuraikan secara panjang lebar berkaitan produk pisang di Tenom, Sabah. Penanaman pisang secara besar-besaran di Sabah telah berjaya di eksport keluar negeri. Pendapatan lumayan ini juga dibantu dengan tanaman sampingan lain seperti buah-buahan, getah dan kelapa sawit. Hasil pertanian ini telah berjaya memberi pulangan tinggi kepada peladang dan hidup mewah. Mengikut kajian perubatan, pisang bukan sahaja dapat mendatangkan pulangan yang tinggi, malah boleh menghasilkan tenaga segera kepada tubuh badan di samping boleh menyembuhkan pelbagai penyakit jika pengambilannya seimbang. Kulit pisang pula boleh menyembuhkan bintat dan rasa gatal akibat gigitan nyamuk.
Bab 18.
Isu kubah surau telah dicetuskan oleh Pak Sahak, ketua kampung, Imam Sanusi dan seorang pemuda. Mereka ke rumah datuk untuk berbincang supaya masalah yang buntu ini dapat diselesaikan, jika tidak campur tangan Yang Berhormat diperlukan. Tiba-tiba, Lili yang ternampak julur ranting di jendela mendapati Danel memberi isyarat mengajak Lili menemaninya ke pekan untuk membeli minyak gamat, setelah mendapat kebenaran nenek. Mereka ke pekan menaiki bas kerana kereta Danel digunakan oleh abangnya. Semasa di dalam bas, Danel memberi alasan kenapa dia menulis artikel mengenai pisang.
.